Ahad, 3 Mac 2013

Masa Depan Sedang Menunggu


Setiap dari kita menyimpan seribu satu peristiwa yang berlaku di masa lalu. Pelbagai warna yang kita jadikan semuanya itu disimpan rapi atau dijadikan bahan bualan atau jua perkara yang dikongsi dengan orang lain. Ada yang manis, yang pahit atau apa jua rasanya, itu semua menjadi sebahagian dari episod-episod hidup yang telah kita lalui ini.

Namun dalam pelbagai peristiwa itu, ada perkara-perkara yang telah berlaku memberi impak yang sangat besar kepada kita. Ia menjadi sesuatu yang terus diingati, meskipun ia telah lama berlalu pergi. Lebih-lebih lagi perkara yang mengubah keseluruhan landskap kehidupan kita. Perkara-perkara yang melibatkan emosi kita sangat tercalar. Hatta perkara-perkara yang sangat kita benci dan ia membuatkan kita sedaya-upaya menghalau dari minda.

Hal-hal yang lalu ini adakalanya menjadi belenggu kepada kehidupan yang sedang dilalui. Belenggu yang membuatkan kita lupa tentang masa depan yang sedang menunggu. Bukan hanya masa depan, malah masakini yang sedang dimiliki.